Thursday, May 6, 2010

The Book of Eli

Kritik Dari Atas Bukit Cendawan

Tidak sedikit  produk dari kilang Hollywood yang memaparkan detik-detik kemusnahan bumi serta kehancuran tamadun manusia berpunca dari bencana alam, wabak penyakit dan kebejatan teknologi persenjataan nuklear. Pelbagai sumber dan fakta dikutip atau dimanipulasi bagi menguatkan lagi hujah. Dibantu dengan perkembangan pesat teknik CGI mutakhir  setiap efek  itu dapat direalisaikan mengikut imiginasi dan  selera sutradara walaupun terkadang dirasakan terlalu berlebihan. Khalayak hanya disogok dengan visual hasil dari kesan khas yang mengumamkan bagi menutupi kelemahan naratif penceritaan yang kabur dan tanpa solusi.

Senario berbeza dapat dilihat menerusi The Book of Eli. Dengan persekitaran yang kusam dan suram, penonton terpanggil untuk merungkai persoalan demi persoalan dalam kembara panjang setelah terjadi  bencana besar yang mengorbankan hampir keseluruhan isi bumi bersama susuk yang bernama Eli. Berbekalkan amanat yang digalas, dia perlu segera menuju ke barat dengan menempuh segala rintangan bagi melaksanakan amanat tersebut. Dengan kesan khas dan naratif penceritaan yang sederhana mengalir sutradara Albert Hughes berjaya membawa khalayak meninjau ke suatu perspektif yang jarang disentuh oleh kebanyakan sutradara Hollywood iaitu kesan dan akibat dari kehancuran serta apa yang diperlukan manusia bagi memulihkan tamadun yang nyaris musnah dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup?

Khalayak akan dibawa melihat dengan lebih dekat keadaan dunia berlangsung dengan undang-undang rimba, dimana nyawa telah hilang nilai. Hanya yang kuat berhak untuk hidup. Kejahatan menyelusup kesetiap gerak dan perbuatan. Tiada ruang untuk simpati dan perikemanusiaan telah lama mati. Di sini sang sutradara telah mencadangkan sebuah solusi dengan mengangkat kekuatan spiritual sebagai jalan keluar terbaik dari seluruh kebejatan ini. Manusia disyorkan kembali kepada agama dalam usaha membentuk tamadun baru yang lebih murni.

Bagi sebuah filem bergenre aksi post-apocalyptic, The Book of Eli ternyata segar dan menghiburkan. Danzel Washington seperti kebiasaannya telah berjaya menghantar energi lakonan yang terkesan melalui watak Eli. Ini ditambah dengan aksi pertarungan yang sederhana tapi cukup mengumamkan. Gary Oldman juga tidak menghampakan. Dengan memeran watak jahat, beliau berjaya menyemai rasa benci dan marah khalayak terhadap kerakusan dan ketamakan Carnegie. Namun begitu watak Solara yang diperan Mila Kunis ternyata gagal menyerlah dan tidak mampu mengimbangi kekuatan lakonan Danzel. Dan ada ketikanya kehadiran watak Solara dalam beberapa adegan seakan dibentuk secara paksa tanpa asas yang kukuh. 

Mungkin ada yang melihat filem ini sebagai propaganda agama. Ini kerana doktrin kristianisasi jelas terpamer dari dialog yang dilontarkan oleh Eli yang kebanyakannya dipetik dari kitab injil. Dan nama Eli itu sendiri dipinjam dari Pemuka agama yahudi seperti yang tertera di dalam kitab Samuel. Namun apa yang lebih penting untuk dibicarakan di sini adalah tentang keberanian mengutarakan penyelesaian dengan memilih agama sebagai penyelamat umat. Idea seperti ini jarang terlihat di dalam mazhab Hollywood yang atheistme dan eksistensialisme. Mereka percaya bahawa moral tidak perlu wujud daripada rasa takut terhadap neraka ataupun ganjaran daripada syurga. Mereka menganggap bahawa kebolehan manusia untuk berlaku baik atau sebaliknya tidak memerlukan kewujudan tuhan dan syaitan. Kemunculan The Book of Eli menjadi antara bukti Hollywood telah kembali mencari tuhan. 

No comments:

Post a Comment