Thursday, March 18, 2010

Ketika Cinta Bertasbih

Kritik Dari Atas Bukit Cendawan

Lewat kebelakangan ini dunia filem Indonesia sedang mengalami arus perubahan yang besar. Sebuah gelora seni yang tidak tersangkakan. Muncul pada saat filem nusantara sedang bergelut dengan pelbagai macam penyakit  madani  yang semakin merosakkan nilai, jatidiri dan fikrah. Jadi usaha dan upaya seperti  dianjurkan sutradara Chaerul Umam ini perlu segera diberi perhatian. Dengan gaya tersendiri , Chaerul Umam berjaya menanggapi karya Habiburrahman El-Shirazy ini penuh cermat. Dengan pemilihan barisan pelakon yang cukup sederhana dan Mesir  sebagai lokasi penggambaran utama menjadikan Ketika Cinta bertasbih sebuah karya  yang begitu segar dan  lazat untuk dinikmati sebagai santapan pembangun jiwa.

Dengan berlatarbelakangkan kesibukan Kota Kairo dan ketekunan pencari ilmu digedung ilmu tersohor Al-Azhar,  membuat filem ini benar-benar bernafas. Penceritaan yang mengarah kepada pengenalan setiap watak juga dirasakan mengalir dan sarat dengan pelbagai macam emosi. Dari rindu, cinta, kasih dan sayang, sesekali muncul konflik yang mengundang keliru, sedih dan hampa sebelum muncul hikmah yang menambah indah karya ini. Walaupun ini bukan pertama kalinya novel Habiburrahman El-Shirazy diangkat ke layar perak kerana sebelum ini pernah lahir Ayat-Ayat Cinta ditangan sutradara Hanung Bramantyo, namun suasana dan persekitaran yang terwujud di dalam KBC lebih realistik dan nyaman untuk dikunyah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa filem ini bukan yang terbaik. Di sana-sini masih terlihat kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki. Antaranya dari aspek lakonan itu sendiri. Melihat kepada  lakonan Kholidi Asadil Alam yang memeran watak Khairul Azzam, jelas beliau masih lemah dalam teknik pembentukan ekspresi wajah dan lontaran dialog. Namun itu tidak memberi efek besar terhadap KBC. Ini kerana kekuatan KBC itu sendiri terlarut di dalam mesej dakwah yang diterjemahkan dalam bentuk percintaan manusia lelaki dan perempuan mengikut kerangka Islam yang berpaksikan kepada Kitabullah dan Sunnah demi meraih redha Allah.

Sayang seribu kali sayang bila sesuatu yang baik tidak segera digali hikmahnya. Karyawan dan semua pencinta filem Malaysia perlu segera berhenti dari dengkur yang panjang dan bangkit melakukan perubahan demi masa depan dunia bioskop tempatan. Sudah tiba masanya untuk kita berkata tidak kepada karya-karya remeh yang hanya meraikan kebobrokan hidup yang tak berhujung dan tak berkiblat. Kita tidak memerlukan karya filem yang pecah panggung tapi muflis nilai dan jatidiri. Kita mendambakan karya-karya yang boleh dimanfaat dan dipertanggungjawabkan. Dan yang lebih peting karya-karya itu harus mendidik.

Karyawan filem Malaysia perlu mencontohi  keberanian karyawan Indonesia dalam mengiktiraf karya sastera dan belajar meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan ikhtiar dan keberanian yang dicuba pada KBC ini boleh dianggap berhasil dan berbaloi. Mungkin tiada sesuatu yang luarbiasa boleh kita harapkan di sini, namun setiap usaha yang menganjur kepada amal maaruf dan berpesan pada kebenaran walaupun sekecil hama tetap harus dipuji. Mudah-mudahan dengan keberhasilan KBC ini dapat memberi sedar karyawan Islam dunia filem nusantara umumnya dan Malaysia khususnya betapa tidak sedikit dari khalayak penonton yang menghargai dan mencintai karya Islami jika digarap dengan kemas serta penuh hikmah.

Mungkin saja karya seperti ini tidak dapat dapat memenuhi selera semua. Dan jelas mustahil untuk melayan keinginan seluruh manusia. Seperti kata Ibnu Maqaffa “ kamu tidak boleh memberi kepuasan kepada semua orang, tetapi kamu boleh memberi kepuasan kepada golongan yang berakal, beradab dan terpilih”. Tidak rugi untuk kita mencuba dalam memberi sesuatu yang lebih segar dan mengajar sebagai alternatif kepada khalayak penonton dalam usaha kita membentuk satu generasi  yang mengenali, menghargai juga mencintai karya dari bangsanya sendiri .

No comments:

Post a Comment